Saturday, March 23, 2013

PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB PENGETUA DALAM MENYOKONG PENGAJARAN BERKESAN

     
      Pengetua merupakan individu yang penting dalam memastikan penyampaian pengajaran berkesan dilaksanakan di sekolah. Beliau juga perlu bertindak sebagai fasilitator kepada guru-guru dan penyokong utama amalan pengajaran berkesan. Ini penting kerana amalan pengajaran berkesan mampu meningkatan pencapaian pelajar.
     Sebagai pemimpin pendidikan, seorang pengetua perlu mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas dalam pendidikan, mempunyai strategi pengajaran yang berkesan serta memahami keperluan guru dan pelajar. Pengetua juga perlu bertanggungjawab mengariskan amalan-amalan terbaik dalam memberi pengajaran berkesan kepada pelajar dan tugas ini harus dikongsi bersama dengan guru-guru. Ini kerana proses mengenal pasti amalan-amalan pengajaran berkesan memerlukan kerjasama semua pihak di sekolah terutamanya guru-guru.
     Perlaksanaan amalan-amalan pengajaran berkesan tidak dapat dilakukan jika pengetua tidak bekerjasama, tiada perancangan yang teratur dan tiada kepercayaan kepada guru-guru (Daane et al, 2000). Kerjasama diperlukan dalam mengkaji semula data , mendapatkan maklumat dari guru-guru, unit-unit atau bahagian untuk menggariskan satu pelan penambahbaikan sistem pembelajaran berkesan disekolah.
     Setelah pelan penambahbaikan dibina, pengetua perlu memastikan semua guru melaksanakan perancangan tersebut dari asas pengetahuan yang sama. Walau bagaimana, pengetua tidak seharusnya mempunyai tanggapan bahawa semua guru mempunyai tahap pemahaman yang sama mengenai strategi pengajaran dan amalan terbaik. Masih ramai guru-guru yang mempunyai pengalaman yang terhad dengan teori-teori pendidikan. Oleh yang demikian, pengetua perlu merancang pembangunan profesionalisme guru-guru dalam menjayakan pembelajaran berkesan.
     Matlamat pembangunan profesionalisme guru-guru adalah untuk memperbaiki dan mempertingkatkan amalan-amalan pengajaran berkesan dan memberikan maklumat tentang strategi pembelajaran lain yang berkesan dan boleh digunakan. Pengetua perlu melakukan kajian atau pemerhatian untuk merancang dan menentukan topik yang akan ditambah baik dalam  pelan Pembangunan profesionalisme (Dettmer, 2005). Amalan-amalan perlu dikaji semula pada setiap tahun untuk menentukan sama ada ianya berjaya atau tidak serta memberi kesan positif kepada pelajar. Sementara itu, pemantauan perlaksanaan amalan-amalan pengajaran berkesan oleh guru mesti diteruskan dan kesannya terhadap pelajar perlu dikenalpasti untuk penambahbaikan yang berterusan.
     Di samping itu juga, pengetua bertanggung jawab memberi motivasi serta sokongan berterusan kepada guru-guru dalam melaksanakan strategi pembelajaran berkesan. Mereka juga perlu dihargai untuk dalam mengatasi cabaran harian yang dihadapi memastikan pencapaian pelajar tercapai. Guru-guru yang bermotivasi akan membantu meningkatkan pencapaian pelajar mereka serta mencari ruang dan masa untuk meningkatkan kemahiran pengajaran mereka.
     Dalam memainkan peranan sebagai pentadbir, pengetua perlu bersedia untuk bekerjasama dengan guru-guru bagi menyokong  strategi pengajaran yang berkesan sesuai melalui penglibatan aktif, kerjasama dan kepimpinan berkesan. Siri Arahan Kualiti oleh Stetson & Associates, Inc boleh digunakan sebagai panduan kepada pengetua dalam meningkatkan pencapaian pelajar. Panduan Arahan Kualiti oleh Stetson & Associates, Inc ialah;
a. Berkongsi matlamat dengan semua warga sekolah berkaitan pencapaian pelajar.
b. Bekerjasama dengan guru dalam menganalisa pencapaian dan penguasaan kurikulum oleh pelajar.
c. Menentukan masa untuk tugas menganalisa pencapaian pelajar dan keberkesanan strategi pembelajaran.
d. Melakukan penilaian semasa proses pendidikan dan strategi sedang dilaksanakan.
e. Meluangkan masa untuk memeriksa pencapaian pelajar secara berkala sepanjang tahun.
f. Memastikan semua guru dan staf memberi tumpuan kepada matlamat pencapaian pelajar manakala staf bukan akademik mengetahui matlamat yang hendak dicapai serta membantu menyokong matlamat tersebut.
g. Memastikan guru menganalisa semua penilaian formatif dan memantau prestasi pelajar mengikut standard yang ditentukan oleh sekolah / PPD / JPN /KPM.
h. Melaksanakan pembangunan profesionalisme untuk membantu guru-guru menganalisa data dan menggunakan strategi pelajaran yang berkesan.
i. Mengenalpasti kaedah tambahan bagi mengumpul data untuk menentukan sama ada telah berlaku pembelajaran.
j. Kerap melakukan pemantauan pengajaran guru dan pembelajaran pelajar.
k. Mempunyai penunjuk standard dari PPD /JPN / KPM untuk menentukan kedudukan dan pencapaian pelajar.
l. Menggunakan kaedah yang sistematik untuk memastikan perubahan dan penambahbaikan berlaku.


No comments:

Post a Comment